Kampung Pulau Kerengga adalah sabuah kampung tradisi yang terletak di pesisir Pantai Laut Cina Selatan. Pada masa dahulu, kampung ini dikenali sebagai perkampungan nelayan. Uniknya kampung ini, ia dipisahkan dengan kawasan tepi pantai oleh sebatang sungai yang merentangi sepanjang bahagian hadapan kampung tersebut. Sungai Pulau Kerengga ini seakan sebuah lagun yang hidup kerana hulu sungai ini mati di hujung kampung, tetapi muara sungai ini terletak di kampung Merchang lebih kurang 15 kilometer dari Kampung Pulau Kerengga.
Sungai ini merupakan sungai air payau dan kaya dengan ikan siakap, belanak, ketam dan udang. Ianya menjadi syurga kepada pemancing. Keadaan ini menjadikan kawasan tepi pantainya seperti pulau kerana di hadapannya adalah Laut Cina Selatan, sementara di belakangnya adalah sungai Pulau Kerengga. Di sekitar "pulau" itu tumbuh pokok bakau, nipah dan sebagainya.
Apa yang menakjubkan ialah terdapat banyak sarang kerengga, maka berdasarkan keadaan itulah kampung ini dinamakan kampung Pulau Kerengga. Penduduk kampung membina beberapa buah jambatan kayu untuk sampai ke pulau tersebut.